Apabila melibatkan diri dengan emas pelaburan, kita tidak boleh lari dari spread. Spread adalah sisihan harga atau perbezaan harga jualan (kedai jual kepada kita) dan harga belian (kedai beli dari kita) pada masa itu. Jadi jika kita beli emas dan terus jual kepada penjual tersebut, dia akan terus mendapat keuntungan dari spread ini.
Sebagai panduan pelabur emas, kita perlu memilih spread yang paling kecil untuk setiap pembelian kita. Untuk makluman, emas perhiasan seperti gelang, rantai, subang dan loket menpunyai spread yang paling tinggi, sekurang-kurangnya 25%. Ini menjadikan emas perhiasan adalah cukup sebagai hiasan. Jika mahukan pulangan dari membeli emas, emas pelaburanlah yang kita patut cari.
Dalam emas pelaburan, setiap saiz emas mempunyai spread yang berbeza. Ini kerana lebih kecil saiz emas, lebih sukar untuk memprosesnya. Sebagai contoh 1 jongkong emas 100 gram mudah dibuat berbanding jongkong emas 1 gram 100 keping. Kuantitinya adalah sama tetapi proses dan kos membuatnya jauh lebih tinggi. Oleh itu sekiranya kita mempunyai bajet yang tinggi untuk membeli emas, saiz yang paling besarlah yang terbaik untuk kita beli.
Formula kiraan spread
Namun bukan semua emas yang sama saiz memiliki spread yang sama. Setiap jenama mempunyai spread yang berbeza. Ini ditentukan oleh syarikat yang menjual. Ia dihitung dari kos operasi, pengangkutan, keselamatan dan semestinya keuntungan syarikat. Ada pelbagai kriteria pemilihan emas pelaburan dan spread adalah salah satu faktor penting dari kriteria tersebut.
Perbandingan pengaruh peratusan spread kepada keuntungan pelaburan. Kredit Foto: goldprice.org
Merujuk graf diatas, kita dapati sekiranya kita membeli emas pada garis lantai iaitu RM125k/kg, kita hanya tunggu seketika untuk harganya naik sebanyak 6%. Apabila harga melepasi harga tersebut, pemilik emas telah memperoleh keuntungan. Sebaliknya sekiranya kita menyimpan emas perhiasan, kita perlu tunggu sehingga harganya naik 25% untuk memperoleh modal asal. Ia mengambil tempoh yang lama dimana kita mengeluarkan modal yang sama, (semestinya pembeli emas pelaburan (emas 999) memiliki emas yang lebih kerana harganya adalah lebih murah dari emas perhiasan (emas 916). Emas perhiasan dikenakan upah serta GST).