Spread the love

Kuasa 10 sen? 10 sen je, apalah sangat? Nak beli coklat pun tak lepaskan. Tapi macam biasa, takda 10 sen, takdalah RM1000. Samalah dengan perjalanan 1000 langkah bermula dari langkah pertama. Tapi bukan ini yang kita nak bincangkan sebab kalau kita menabung 10 sen setiap hari, setahun baru RM36.50. Tak significant pun kan usaha berterusan itu setiap hari sepanjang tahun.

Andai gaji kita RM2000, dan kita berjaya simpan RM200 diawal bulan maka kekayaan kita bertambah RM200 setiap bulan. Simpanan ini yang membuatkankan kita semakin kaya, bukan gaji. “Eh, gaji besarlah yang buat kita kaya. Apalah Hadi cakap macam ni”.

Baik, jom kita lihat bila kita ada gaji RM10000. Kaya tak? Terus terang saya katakan ramai yang pada mulanya bergaji RM2000, dia tidak menyimpan 10% dari pendapatannya, bila gaji semakin naik, maka komitmen dia semakin naik. Pernah dengarkan lagi besar periuk, lebih besar keraknya? Lebih teruk lagi dengan gaji RM10000 ini, perbelanjaannya RM10000.10 setiap bulan.

Dari manakah 10 sen terlebih belanja itu datang? Ia sering kali datang dari kad kredit. Hutang. Kadar faedah hutang ini adalah 15-18% setahun. Berlawanan dengan kadar dividen simpanan kita yang rata-rata hanya 5-7% setahun. Inilah punca ramai yang gagal menjadi kaya kerana gagal mengawal perbelanjaan waima 10 sen terlebih dari pendapatan.

Asas kepada kekayaan adalah pengurusan kewangan sebab pusing ikut mana pun, kekayaan dinilai dalam bentuk wang. Bijak mengurusnya, insyaAllah makin kaya. Pupuk sikap menyimpan ini sekarang kerana masa terbaik untuk menyimpan adalah semasa kita darjah 1 dan masa kedua terbaik untuk kita menyimpan adalah sekarang! ya, sekarang. Mulakan dari 10% gaji pada hari pertama masuk gaji. Kalau tak boleh, cuba 5%. Tak boleh juga, 2%. Kalau tak boleh juga, 10 sen!

InsyaAllah bila mengamalkan tabiat menyimpan di awal dapat gaji, kita akan semakin kaya. Jangan di semak akaun simpanan kita andai kita tak kuat melihat nombornya. Ada pula yang beli iphone x nanti. Fokus bina dana kecemasan 3 bulan gaji. Lepas tu baru fikir tentang pelaburan.

Semoga bermanfaat. Silakan share sekiranya ia akan membantu.

Abd Hadi Abd Halim

Pontian, Johor

kredit gambar: Bank Negara Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *